Wednesday, November 26, 2008

Kita di golongan mana?


Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0989.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Ada tujuh golongan yang mendapat naungan dari Allah swt. pada hari kiamat kelak, di mana tidak ada sama sekali naungan pada hari itu melainkan naungan dari Allah swt.: (I) Imam (raja atau penguasa) yang adil, (2) Pemuda yang menjadi dewasa dalam beribadat kepada Allah, (3) Orang yang hatinya tergantung di masjid. (4) Dua orang yang saling mencintai satu sama lain kerana Allah. Mereka berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah. (5) Seorang lelaki yang dirayu oleh seorang wanita bangsawan yang cantik untuk berbuat mesum, lalu dia menolak dengan kata: "Aku takut kepada Allah." (6) Orang yang bersedekah dengan diam-diam, sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang disedekahkan tangan kirinya. (7) Orang yang mengalir air matanya ketika berzikir, mengingat dan menyebut nama Allah dalam keadaan bersunyi diri."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2442.

Dari 'Iyadh bin Himar Al Mujasyi'iy r.a. katanya: "Pada suatu hari Rasulullah saw. bersabda dalam khutbah sebagai berikut: "Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhan ku memerintahkan kepada ku supaya mengajarkan kepada kamu sekalian apa-apa yang belum kamu ketahui. Iaitu pengajaran yang diajarkan Allah kepada ku hari ini. Firman Allah: Setiap harta yang Aku (Allah) berikan kepada seseorang hamba adalah halal. Dan sesungguhnya Aku telah menciptakan hamba-hamba-Ku semuanya berada dalam agama yang lurus. Tetapi mereka kemudian didatangi oleh syaitan-syaitan lalu syaitan membelokkan mereka dari agama mereka dan mengharamkan apa-apa yang telah Kuhalalkan bagi mereka, dan menyuruh mereka supaya mempersekutukan-Ku dengan sesuatu yang tidak diberi kekuasaan apa-apa. Sesungguhnya Allah mengawasi penduduk bumi dengan kemarahan, baik bangsa Arab maupun bangsa Ajam, kecuali sisa-sisa Ahli Kitab. Firman Allah Ta'ala, "Sesungguhnya Aku mengutus engkau untuk mengujimu dan menguji orang lain dengan engkau. Aku turunkan kepada mu Kitab yang tidak sirna kena air, yang dapat engkau baca di waktu tidur dan bangun. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada ku supaya membangkitkan kemarahan orang-orang Quraisy." Jawab ku, "Ya, Tuhan ku! Nanti mereka pecah kepala ku dan mereka tinggalkan seperti (pecahan) roti." Firman Allah, "Usir mereka seperti mereka mengusirmu. Perangi mereka, nanti Kami bantu kamu memerangi mereka. Keluarkan segala dana, nanti Kami beri dana engkau. Kirim pasukan tentera, nanti Kami kirim pula tentera membantumu lima kali lipat. Perangilah olehmu bersama-sama orang yang taat kepada mu, mereka yang durhaka kepada mu. Firman Allah Ta'ala, "Penduduk syurga ada tiga macam: (1) Penguasa yang adil, pemurah, dan bertindak sesuai dengan hukum. (2) Orang yang berhati pengasih dan berhati lembut terhadap karib kerabat dan kaum muslimin. (3) Orang daif yang tidak terkendalikan otaknya, mereka di samping kamu hanyalah ikut-ikutan, mereka tidak mahu berkeluarga dan tidak menghendaki kekayaan. Penduduk neraka ada lima macam: (1) Orang daif yang tidak mempergunakan otaknya, mereka hanya menjadi pengikut, tidak berusaha mencari nafkah untuk diri dan keluarganya. (2) Pengkhianat yang tidak tahu malu, sampai hal-hal kecil dikhianatinya juga. (3) Orang yang pagi petang berusaha hendak menipumu, tentang keluargamu, dan harta mu, (4) Orang bakhil atau pendusta. (5) Orang yang bermulut kotor (orang yang berperangai buruk dan suka menggunjing).

Tuesday, November 25, 2008

Basahkan lidah dengan pujian kepada tuhanmu


Hadis Sunan At Tirmidzi Jilid 5. Hadis Nombor 3597.
Ahmad bin Mani' menceritakan kepada kami, Ismail bin Ayyasy memberitahukan kepada kami dari Abdillah bin Abdur Rahman bin Abi Husain dari Syahr bin Hausyah dari Abi Umamah Al-Bahil berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa mendatangi tempat tidurnya dalam keadaan suci serta berzikir kepada Allah sampai mengantuk menjumpainya (tidur) maka tidaklah dia bangun sesaat saja dari malam itu seraya memohon kepada Allah sesuatu dari kebaikan dunia dan akhirat melainkan Allah pasti mengabulkannya." Hadis ini adalah hasan gharib. Dan hadis ini juga diriwayatkan dari Syahr bin Hausyab dari Abi Dzabyah dari Amr bin Absah dari Nabi saw.

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0460.
Abu Hurairah r.a. menceritakan, bahawa orang-orang fakir datang kepada Nabi saw. mengatakan: Orang-orang kaya beroleh darjat yang tinggi serta kebahagiaan yang mantap. Mereka solat seperti kami, dan berpuasa seperti kami. Namun mereka mempunyai kelebihan dari kami, kerana mereka dapat pergi haji dengan harta mereka. Mereka juga dapat umrah, berperang dan bersedekah." Jawab Nabi, "Tidakkah lebih baik ku ceritakan kepada mu suatu hal yang jika kamu kerjakan, nescaya kamu akan dapat mengejar orang yang dahulu, dan tidak akan boleh dikejar oleh orang yang di belakangmu. Kamu akan menjadi orang yang paling baik di antara kawan-kawannya, kecuali jika mereka mengerjakan pula apa yang kamu kerjakan. Iaitu: Tasbih (membaca Subhanallah), Tahmid (membaca Allamdulillah), dan Takbir (membaca Allaahu Akbar), setiap selesai solat sebanyak 33 kali. Kami berbeza pendapat. Ada yang mengatakan, tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali. Aku bertanya kembali kepada Nabi saw., dan beliau menjawab, "Baca Subhanallah, Alhamdulillah, dan Allahu Akbar. Masing-masing 33 kali."

Hadis Sunan At Tirmidzi Jilid 1. Hadis Nombor 0406.
Ishaq bin Ibrahim bin Habib bin Asy-Syahid dan Ali bin Hujr menceritakan kepada kami mereka berkata: "Attab bin Basyir menceritakan kepada kami dari Khushaif dari Mujahid dan Ikrimah dari Ibnu Abbas berkata: "Orang-orang fakir miskin datang kepada Rasulullah saw lalu berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya orang-orang kaya melakukan solat sebagaimana kami melakukan solat dan mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka mempunyai harta yang mereka dapat memerdekakan budak dan bersedeqah". Beliau bersabda: "Apabila kamu telah selesai melakukan solat maka bacalah Subhanallah tiga puluh kali, Alhamdulillah tiga puluh kali, Allahu Akbar tiga puluh kali dan Laila illallah sepuluh kali maka sesungguhnya kamu dapat mencapai darjat orang yang mendahului kamu dan orang sesudahmu tidak dapat mendahului kamu". Dalam bab ini mendapat hadis dari Kaab bin Ujrah, Anas, Abdillah bin Amr, Zaid bin Tsabit, Abid Darda', Ibnu Umar dan Abi Dzarr. Abu Isa berkata: "Hadis Ibnu Abbas adalah hasan gharib". Dan benar-benar diriwayatkan dari Rasulullah saw bahawa beliau bersabda: "Dua macam perbuatan tidaklah seorang muslim memeliharanya melainkan masuk syurga iaitu membaca Subhanallah pada sesudah tiap-tiap solat wajib tiga puluh tiga kali dan membaca Alhamdulillah tiga puluh tiga kali dan membaca Allahu Akbar tiga puluh tiga kali dan membaca tasbih ketika hendak tidur sepuluh kali dan membaca Allahu Akbar sepuluh kali.

Hadis Sunan At Tirmidzi Jilid 5. Hadis Nombor 3538.
Muhammad bin Wazir Al Wastihi menceritakan kepada kami. Abu Sufyan Al Humairi menceritakan kepada kami dari Adh Dhahhak bin Humrah dari Amr bin Syaaib dari ayahnya dari datuknya berkata: "Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa mentasbihkan Allah seratus kali pada pagi hari dan seratus kali pada petang hari, maka ia seperti orang yang menjalankan ibadah haji seratus kali. Barang siapa memuji Allah seratus kali pada pagi hari dan pada petang hari seratus kali maka seperti orang yang naik di atas seratus kuda di jalan Allah, atau beliau bersabda: "Orang yang berperang seratus kali". Barang siapa membaca laailaaha illallaah seratus kali pada pagi hari dan seratus kali pada petang hari, maka ia seperti orang yang memerdekakan seratus budak keturunan Ismail, dan barangsiapa membaca takbir seratus kali pada pagi hari dan seratus kali pada petang hari, maka tidak ada seorangpun yang datang pada hari itu dengan membawa amal yang lebih utama daripada amal yang dia bawa selain orang yang membaca takbir sebanyak yang ia baca atau lebih banyak daripada yang ia baca." Hadis ini adalah hasan gharib.

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0174.
Dari Abu Malik Al Asy'ari r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Kebersihan itu sebahagian dari iman. Membaca 'Alhamdulillah' pahalanya sepenuh timbangan. Membaca 'Subhanallah wal hamdulillah', pahalanya sepenuh ruang antara langit dan bumi. Solat itu cahaya, sedekah itu adalah bukti sabar itu adalah sinar Quran akan menjadi hujah (alasan) bagi mu atau alasan yang ditujukan kepada mu. Setiap orang pagi-pagi menjual dirinya, ada yang menyelamatkannya dan ada pula yang membinasakannya."

Hadis Sunan At Tirmidzi Jilid 5. Hadis Nombor 3670.
Abu Kuraib menceritakan kepada kami, Abu Muawiyah lalu memberitahukan kepada kami dari Al-A'masy dari Abi Shaleh dari Abu Hurairah atau dari Abi Said Al-Khudri berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah memiliki malaikat-malaikat yang berjalan-jalan di bumi sebagai tambahan dari pada malaikat-malaikat penulis amal manusia lalu apabila mereka menjumpai suatu kaum yang berzikir kepada Allah, maka mereka memanggil: Marilah kepada apa yang kamu minta lalu mereka datang kemudian mengelilingi orang-orang yang berzikir tadi menuju ke langit dunia, lalu Allah berfirman: "Kamu biarkan hamba-hamba ku melakukan perbuatan apa?", mereka menjawab: "Kami biar mereka memuji Mu dan mengagongkan Mu dan berzikir kepada Mu". Beliau bersabda: "Apakah mereka melihat Kami?" mereka menjawab: "tidak", Beliau bersabda: "lalu Allah berfirman: "Bagaimana seandainya mereka melihat Ku?" Beliau bersabda: "mereka menjawab: "seandainya mereka melihat Engkau pasti mereka sangat memuji Mu dan mengagungkan Mu dan sangat berzikir kepada Mu." Beliau bersabda: Allah berfirman: "Apa yang mereka minta?" Beliau bersabda: Mereka menjawab: "mereka minta syurga." Beliau bersabda: "Allah berfirman: "apakah mereka melihat syurga?" Beliau bersabda: mereka menjawab: "tidak." Beliau bersabda: Allah berfirman: "Bagaimana seandainya mereka melihat?" Beliau bersabda: mereka menjawab: "seandainya mereka melihatnya, tentu mereka sangat memintanya dan mengharapkannya." Beliau bersabda: "dari apa mereka minta perlindungan?" Mereka menjawab: mereka minta perlindungan dari neraka." Beliau bersabda: "Allah berfirman: "apakah mereka melihatnya? mereka menjawab: "tidak." Beliau bersabda: "Allah berfirman: Bagaimana seandainya mereka melihatnya?" mereka menjawab: seandainya mereka melihatnya tentu mereka sangat lari dan sangat takut dan sangat minta perlindungan dari padanya." Beliau bersabda: Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku menjadikan kamu sekalian sebagai saksi bahawa Kami mengampuni dosa-dosa mereka," lalu mereka berkata: "sesungguhnya di antara mereka ada seseorang anu yang banyak dosanya dia tidak berkeinginan bersama mereka dalam zikir sesungguhnya dia mendatangi mereka kerana suatu keperluan," kemudian berfirman: "mereka adalah kaum yang seorangpun tidak menjadi celaka kerana berkat mereka." Hadis ini adalah hasan sahih, dan hadis ini juga diriwayatkan dari Abi Hurairah dengan selain sanad ini.

Hadis Sunan At Tirmidzi Jilid 5. Hadis Nombor 3439.
Muhammad bin Basysyar menceritakan kepada, kami, Marhum bin Abdul Aziz Al 'Aththar menceritakan kepada kami, Abu Nu'amah memberitahukan kepada kami dari Abu Utsman An Nahdi dari Abi Said AI-Khudri berkata: "Muawiyah keluar menuju ke masjid lalu berkata: "Kami duduk untuk zikir kepada Allah." ia berkata: "Demi Allah tidakkah mendorong kamu duduk selain itu?" Mereka berkata: "Demi Allah tidaklah mendorong kami duduk selain itu." Ia berkata: "Ingatlah sesungguhnya aku meminta sumpah kepada mu bukan kerana curiga kepada mu dan tidak ada seseorang mengenai kedudukanku dari Rasulullah SAW yang lebih sedikit hadisnya dari beliau dari pada ku. Sesungguhnya Rasulullah pernah keluar menuju lingkaran terdiri dari sahabat-sahabatnya lalu beliau bersabda: "Apa yang mendorong kamu duduk?" Mereka berkata: "Kami duduk untuk zikir kepada Allah dan memujiNya kerana Dia telah memberi petunjuk kami kepada Islam dan telah memberi kurnia kepada kami dengan Islam". Lalu beliau bersabda: "Demi Allah tidaklah mendorong kamu duduk selain itu". Mereka menjawab: "Demi Allah tidaklah mendorong kami duduk selain itu". Beliau bersabda: "Ingatlah sesungguhnya aku meminta kamu bersumpah bukan kerana curiga kepada mu, sesungguhnya malaikat Jibril telah mendatangi ku dan memberitahukan kepada ku bahawa Allah membanggakan kamu kepada para malaikat." Hadis ini adalah hadis hasan gharib yang kami tidak mengetahuinya selain dari sanad ini. Dan Abu Nu'amah Assa'di namanya adalah Amr bin Isa, dan Abu Utsman An Nahdi namanya adalah Abdur Rahman bin Mullin.

Monday, November 24, 2008

Perihal zikir


Alangkah Mulianya Majlis Zikir


Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2311.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Allah Tabaraka wa Ta'ala mempunyai para malaikat yang bertugas keliling mencari-cari majlis zikir. Bila mereka telah menemukannya, lalu mereka duduk bersama-sama dengan orang-orang yang sedang zikir, memanggil teman-temannya, berkerumun mengitari orang-orang yang sedang zikir itu dengan sayap-sayap mereka sehingga memenuhi ruangan antara mereka dengan langit dunia. Apabila majlis telah bubar, para malaikat naik kembali ke langit. Lalu Allah Ta'ala bertanya kepada mereka, - padahal Allah Maha Tahu perbuatan mereka - "Kalian datang dari mana?" Jawab mereka, "Kami baru kembali memeriksa hamba-hamba-Mu di bumi. Mereka tasbih, takbir, tahlil, tahmid dan memohon kepada-Mu." Tanya: "Apa yang dimohon mereka kepadaKu?" Jawab : "Mereka memohon syurga kepada-Mu." Tanya: "Pernahkah mereka menampak syurga-Ku?" Jawab : "Tidak'" Firman Allah, "Apalagi kalau mereka menampak syurga-Ku!" Kata para malaikat, "Mereka juga memohon kebebasan." Tanya: "Mohon bebas dari apa?" Jawab: "Mohon bebas dari neraka." Tanya: "Pernahkah mereka menampak neraka-Ku?" Jawab: "Tidak." Firman Allah Ta'ala: "Apalagi kalau mereka nampak neraka-Ku!" Kata para malaikat: "Mereka juga memohon ampun kepada-Mu." Jawab: "Aku mengampuni mereka dan memberikan apa yang mereka minta serta membebaskan mereka dari apa yang mereka takuti." Kemudian para malaikat berkata: "Di antara mereka terdapat seorang hamba yang penuh dosa. Dia lewat di majlis itu lalu duduk bersama-sama dengan orang-orang yang zikir." Firman Allah: "Orang itu pun Ku-ampuni, begitu pula setiap orang yang terlibat dalam majlis zikir itu tidak ada yang celaka."


Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2348.

Dari Juwairiyah (binti Al Harits. isteri Nabi saw.) r,a. katanya : Nabi saw keluar dari rumahnya pagi-pagi setelah selesai solat Subuh. dan Juwairiyah masih berada di tempatnya solat. Setelah waktu Dhuha Rasulullah saw. pulang sedangkan Juwairiyah masih duduk di tempatnya semula. Rasulullah bertanya kepadanya. "Apakah engkau sentiasa duduk (berzikir) seperti itu sejak kutinggalkan tadi?" Jawab Juwairiyah. "Betul, ya Rasulullah!" Sabda Nabi saw., "Aku hanya mengucapkan empat kalimat sebanyak tiga kali semenjak itu yang kalau ditimbang dengan apa yang kau baca dalam zikinnu sejak tadi nescaya sama berat. Kalimat itu ialah: Subhanallahi wa bihamdihi 'adada khalqihi, wa ridha nafsihi. wa zinata 'arsyihi, wa midadi kalimaatihi " (Maha Suci Allah dan Maha Terpuji Dia sebanyak bilangan makhlukNya, seredha diriNya seberat arasyNya dan sebanyak kalimatNya)


Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0541.

Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Sesungguhnya zikir dengan suara keras setelah selesai solat wajib, adalah biasa pada masa Rasulullah saw. Kata Ibnu Abbas, "Aku segera tahu bahawa mereka telah selesai solat, kalau suara mereka membaca zikir telah kedengaran."

Apa Khabar?



بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, Segala puji kepada Allah, tuhan sekelian alam. Selawat dan salam sejahtera kepada junjungan besar nabi Muhammad S.A.W yang telah menyebarkan cahaya hidayah Islam ke segenap penjuru alam. Amma ba’du.

Dengan izin Allah Subhanahu wa Taala, kami dapat menerbitkan blog ini, dengan tujuan untuk bersama-sama berkongsi bahan bermanfaat dengan rakan-rakan yang dahagakan bahan ilmiah dan dakwah demi menyebarluaskan kebaikan dan kesejahteraan kepada manusia dan alam seluruhnya. Justeru bahan ini bolehlah digunapakai untuk tujuan dakwah dan ilmiah dalam apa jua bentuk media samada bercetak atau selainnya. Namun bagi kami lagilah beradab sekiranya dinyatakan sumber bahan yang diambil, walaupun kami sendiri tidak memakai nama sebenar, supaya kelangsungan sumber itu dapat diperpanjangkan.

Berkenaan bahan, kami mengambilnya dari sumber-sumber yang pada ilmu kami bertepatan dengan akidah ahli sunnah wal jamaah berasaskan imam Abu Hasan Asyaari dan Abu Mansur alMaturiidy, mengutamakan mazhab fekah majoriti masyarakat di nusantara, manakala dari segi akhlak dan tazkiyah, kami utamakan hasil karya imam Abu Hamid al-Ghazali. Dari segi dakwah kami mengutamakan karya pengasas dan pendokong ikhwanul muslimin kerana telah diiktiraf oleh kebanyakan ulama dunia tentang peranannya yang besar dalam menghidup dan menyuburkan usaha-usaha islah dan dakwah iaitu As-Syahid Hasan al-Banna, Syeikh Said Hawa, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dan lain-lain (sekadar menyebutkan beberapa nama). Bahan-bahan ini kami usahakan melalui perterjemahan daripada kitab asal, penyalinan daripada kitab terjemahan, perkongsian bahan dengan dipastikan sumber sebenar dan sebagainya.

Sebarang teguran, cadangan penambahbaikan kami alu-alukan dan harap dapat dilakukan dalam semangat mahabbah dan ukhuwwah islamiyyah yang kaya dengan nilai adab dan kesopanan yang tinggi.

Sekadar itu sahaja prakata daripada kami, semoga Allah sentiasa membimbing kita ke jalan yang diredhainya. KepadaNya kami bertawakkal dan kepadaNya kami kembali.